Isnin, 9 April 2012

Bahasa Slanga Dalam Facebook


1.0       Pengenalan

            Bahasa itu amat penting dalam kehidupan manusia. Manusia tidak boleh lepas dari bahasa dan mereka memerlukan bahasa untuk berkomunikasi dengan orang lain. Mereka menggunakan bahasa dalam komunikasi untuk mengungkapkan idea, gagasan, keinginan, dan perasaan-perasaan yang tersimpan dalam fikiran mereka. Oleh itu, bahasa itu amat penting bagi menghasilkan komunikasi yang efektif.

            Bahasa juga amat penting dalam era teknologi maklumat dan informasi. Penggunaan teknologi maklumat ataupun teknologi informasi (IT) pada masa kini membolehkan seseorang dengan mudahnya dapat berhubung dengan individu yang lain di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Untuk berhubung dengan menggunakan teknologi maklumat ini, mereka perlu mempunyai peralatan seperti komputer atau telefon bimbit dan rangkaian internet. 

Penggunaan Facebook (FB) di Negara Brunei Darussalam berkembang begitu pesat dan sangat menggalakkan. Ini sudah tentu bahasa yang disampaikan itu digunakan secara meluas dan menonjol sebagai suatu ragam bahasa yang kreatif. Sebahagian daripada bahasa yang digunakan dalam Facebook adalah bahasa slanga.
            Sebelum menghuraikan lebih lanjut mengenai bahasa slanga, ada baiknya perlu diketahui tentang apa maksud perkataan slanga tersebut.

            Kamus Dewan (1989: 1217) mendefinisikan slanga sebagai kata-kata yang bukan daripada golongan bahasa baku atau standard. Kata-kata tersebut biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal dan tidak boleh digunakan dalam penulisan atau keadaan yang formal.

            Manakala Kamus Bahasa Melayu Nusantara  (2003:2572) menakrifkan slanga sebagai ragam bahasa tidak resmi dan tidak baku yang sifatnya tidak tetap atau musiman, biasanya digunakan oleh kaum remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi dalam kelompok itu sendiri; kata; frasa dan lain sebagainya yang tidak resmi dan tidak termasuk dalam bahasa baku, bersifat musiman, dan digunakan oleh kelompok tertentu (remaja, pelajar, dsb).

Dari kedua-dua definisi tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa slanga merupakan satu variasi bahasa yang khusus dan bersifat tidak baku yang digunakan oleh sekumpulan atau sekelompok manusia yang saling mengenali antara satu sama lain untuk menyatakan perihal sesuatu yang hanya diketahui oleh mereka.

Dalam Facebook, bahasa slanga ini sangat luas digunakan oleh kumpulan-kumpulan pengguna sesama mereka sendiri yang maksudnya hanya diketahui oleh mereka. Walau bagaimanapun, beberapa maksud atau makna bahasa slanga ini boleh diketahui melalui ujaran yang mereka utarakan. Bahkan, ada juga beberapa bahasa slanga itu sudah menjadi lumrah dan sering digunakan oleh para pengguna Facebook sehinggakan ramai yang telah mengetahui maksud atau makna bagi bahasa slanga tersebut.  

1.1       Permasalahan Kajian

Penggunaan Facebook sama ada dengan menggunakan komputer atau telefon bimbit di Negara Brunei Darussalam telah berkembang pesat dan sangat menggalakkan . Ini dapat dilihat dalam rajah berikut berkaitan demografi penggunaan Facebook di Negara Brunei Darussalam pada bulan November dalam tahun 2011 yang dipetik dari salah satu laman sesawang Singapura iaitu http://wearesocial.sg

                 Rajah Demografi Penggunaan Facebook Di Negara Brunei Darussalam

Berdasarkan rajah tersebut didapati bahawa kadar peratus pengguna Facebook yang tertinggi adalah sebanyak 33 peratus iaitu pengguna Facebook yang berumur antara 18 hingga 24 tahun. Manakala, 12 peratus iaitu pengguna Facebook yang berumur antara 35 tahun hingga 44 tahun. Kadar peratus yang paling rendah adalah sebanyak 1 peratus iaitu pengguna Facebook yang berumur antara 55 hingga 64 tahun.

Pengkaji telah menemukan beberapa masalah dalam kajian ini, iaitu:

a) Apakah jenis-jenis bahasa slanga yang digunakan dalam Facebook?
b) Apakah faktor-faktor yang menyebabkan bahasa slanga dalam Facebook itu berlaku?
c) Apakah kesan-kesan menggunakan bahasa slanga dalam FB?

1.2       Tujuan Dan Objektif Kajian

Kajian tentang penggunaan bahasa slanga dalam Facebook ini dilakukan dengan hasrat untuk mencapai objektif-objektif berikut:

a) Untuk menganalisis bentuk-bentuk kata dalam bahasa slanga yang digunakan dalam Facebook.
b) Untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi pengguna Facebook menggunakan bahasa slanga.
c) Untuk mengetahui kesan-kesan dalam penggunaan bahasa slanga dalam Facebook.

1.3       Skop Kajian
            Skop kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pemilihan laman sesawang dan pemilihan aspek kajian.
            1.3.1    Pemilihan Laman Sesawang
                        Kajian ini dibataskan kepada satu laman sesawang iaitu Facebook. Ini kerana Facebook merupakan laman sesawang yang terkenal pada masa kini dan penggunaannya yang sangat popular sama ada daripada golongan muda ataupun tua. Jarak masa yang diperuntukkan untuk mendapatkan data iaitu selama satu minggu bermula dari 1hb Februari 2012 hingga 7hb Februari 2012.

            1.3.2    Pemilihan Aspek Kajian
                        Kajian ini difokuskan kepada bahasa slanga iaitu yang dikhususkan kepada penggunaan jenis-jenis bahasa slanga, serta faktor-faktor dan kesan-kesan penggunaan bahasa slanga.

1.4       Metodologi Kajian

            Hanya satu kaedah sahaja yang digunakan bagi memperlengkapkan kajian ini, iaitu kaedah perpustakaan.

            1.4.1    Kaedah Perpustakaan
                        Pengkajian ini dilakukan untuk memperolehi data-data yang hanya mempunyai kesinambungan dengan tajuk kajian melalui beberapa bahan rujukan yang terdapat di Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam, Bilik Sumber Jabatan Bahasa Melayu Dan Linguistik dan juga Dewan Bahasa Dan Pustaka. Antara sumber rujukan tersebut adalah terdiri daripada buku-buku yang telah dicetak, artikel-artikel, makalah-makalah, jurnal, kamus-kamus dan beberapa latihan ilmiah. Selain itu, penulis juga merujuk maklumat-maklumat dari laman-laman web seperti merujuk beberapa latihan ilmiah, tesis-tesis, dan artikel-artikel yang ditulis oleh pengkaji-pengkaji luar secara online.

1.5       Tinjauan Literatur

Kajian mengenai bahasa slanga tidak banyak ditulis oleh pengkaji-pengkaji tempatan. Dengan hal yang demikian, ini menyukarkan penulis mencari bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk kertas kerja ini. Walau bagaimanapun, pengkaji menemukan beberapa rujukan yang telah ditulis oleh para pengkaji luar. Selain itu juga, pengkaji juga menemukan beberapa rujukan secara online melalui internet seperti tesis-tesis, kamus, kertas kerja dan sebagainya yang telah ditulis oleh para pengkaji luar.

Antara kajian yang dibuat mengenai bahasa slanga adalah Prof. Dr Nik Safiah Karim. Beliau telah mengkaji bahasa slanga yang digunakan di kalangan mahasiswa Universiti Malaya dan mengapa bahasa ini wujud. Beliau menyatakan bahawa sebab utama bahasa slanga ini timbul disebabkan  keinginan gologan mahasiswa untuk menimbulkan ciri-ciri khusus bagi mereka yang mengasingkan diri mereka dari pelajar-pelajar jenis lain. Dengan kata lain tujuan utama ialah untuk menimbulkan perasan dan ciri group identity. Sebab kedua pula adalah kerana keadaan mahasiswa itu sendiri yang mudah menjadi mangsa tekanan emosi dan sebab yang terakhir, disebabkan keinginan mereka untuk meringkaskan perkataan dan rangkai kata yang digunakan hari-hari.

Selain itu, antara pengkaji dari Indonesia yang membuat kajian mengenai bahasa slanga (atau bahasa gaul dalam bahasa Indonesia) itu adalah Sylvie Wijaya Agung. Beliau telah mengkaji bahasa gaul yang digunakan sebagai alat komunikasi di Himpunan Mahasiswa (HIMA) dan Komunitas Pelayanan Mahasiswa (PELMA) di Universitas Kristen Petra Surabaya untuk mendukung komunikasi interpersonal. Beliau juga menganalisis persamaan dan perbezaan dalam hal perbendaharaan kata, makna, alasan dan situasi penggunaan bahasa gaul di kedua-dua komuniti tersebut. Ada sebelas jenis bahasa gaul yang digunakan oleh komuniti HIMA sedangkan komuniti PELMA hanya memiliki lima jenis bahasa gaul.

Sementara penulisan yang dibuat oleh Veneranda Intan (2006) dalam tesis beliau yang bertajuk, “Komunikasi Gender: Studi Penggunaan Bahasa Gaul Dalam Kelompok Stage 9 Entertainment”, beliau telah meneliti bentuk-bentuk bahasa gaul yang digunakan dalam komunikasi gender yang terjadi dalam kumpulan Stage 9 Entertainment. Kumpulan ini  merupakan kumpulan tarian di Surabaya yang terdiri dari 15 orang perempuan dan 12 orang lelaki, di mana mereka masing-masing mempunyai sikap feminine dan masculine yang dibentuk oleh masyarakat sekitar tempat mereka tinggal dan bersosialisasi. Veneranda hanya memfokuskan dan membuat perbandingan di antara kedua-dua gender iaitu Zieko (seorang lelaki) dan Ichen (seorang wanita) yang merupakan ahli kumpulan tarian tersebut. Dari hasil dapatan kajian, beliau mendapati bentuk bahasa gaul yang digunakan oleh Zieko banyak menggunakan bentuk tambahan akhiran “es” dan “i”. Manakala Ichen banyak menggunakan bentuk kesamaan bunyi. Dengan itu, peneliti merumuskan bahawa komunikasi yang dilakukan oleh Zieko dan Ichen tidak cenderung pada maskulin dan tidak cenderung pada feminine,bahkan di tengah-tengah (androgin) disebabkan oleh beberapa alasan iaitu, (i) Zieko menggunakan bahasa gaul dengan alasan maskulin kerana dia berkomunikasi untuk menampilkan dirinya dan perbendaharaan kata yang digunakan Zieko masuk dalam komunikasi feminine kerana Zieko membuat kata tersebut menjadi halus bila dia merasa kata-kata tersebut kurang halus. Sementara Ichen menggunakan bahasa gaul dengan alasan feminine kerana dia menggunakan bahasa gaul untuk menceritakan hal yang sifatnya personal. Perbendaharaan kata yang digunakan oleh Ichen masuk dalam komunikasi maskulin kerana dia tidak peduli walaupun kata-kata yang digunakannya itu kurang halus. Dari kenyataan di atas tersebut, Veneranda membuat kesimpulan bahawa lelaki dan perempuan memiliki sisi feminine mahupun maskulin dalam berkomunikasi.

            Manakala, tesis yang bertajuk “Bahasa Gaul Pada Kalangan Waria Di Jalan Gadjah Mada Medan: Tinjauan Sosiolinguistik” yang ditulis oleh Eva Tuti Harja Siregar, beliau menganalisis bahasa gaul yang digunakan oleh kelompok waria di Jalan Gadjah Mada Medan dari sudut semantik, struktur leksikal dan bentuknya. Berdasarkan hasil dapatan kajian beliau, bahasa yang digunakan oleh kelompok waria ketika berkomunikasi terdapat kaitan makna sinonim, antonim dan polisemi. Kata yang bersinomin seperti kata mekong  dan  makasar  membawa makna makan.  Kedua kata tersebut merujuk pada makna yang sama yang membezakannya adalah konteks dan situasi. Kata yang berantonim kata  pere ’perempuan’ lawan kata lekong ’laki-laki’, kedua kata tersebut berantonim secara mutlak. Sedangkan kata yang berpolisemi seperti kata beer ‘berapa’  mempunyai makna lebih dari satu berdasarkan konteks dan situasi yang berbeza. Sementara, struktur leksikal memiliki pola tertentu seperti penambahan suku kata, penghilangan suku kata, serta pembentukan kata-kata baru secara teratur dan tidak teratur. Kelompok ini bukan sahaja menggunakan bahasa gaul yang ada dalam kamus bahasa gaul yang ditulis oleh Debby Sehartian, bahkan mereka juga menggunakan bahasa yang mereka cipta sendiri. Bahasa waria hanya memiliki beberapa ratus kata saja dan penggunaan bahasa  waria ini meliputi bidang-bidang tertentu. Bahasa yang digunakan para waria belum dapat dikatakan sistem yang lengkap dalam berkomunikasi, proses penciptaannya dan unsur kosakata dan pembentukan katanya agak menyimpang.

            Selain daripada itu, Hervina M.S menulis tesisnya yang bertajuk, “Singkatan Dan Akronim Dalam Chatting Di Internet”, beliau menganalisis pola singkatan dan akronim dalam chatting di Internet dan juga meneliti pola-pola yang dominan digunakan. Hasil yang diperolehi dari penelitian beliau ini adalah pola singkatan dalam chatting di internet terdiri dari 6 pola yaitu: pola I (singkatan yang menggunakan huruf awal kapital), pola II (bentuk singkatan), pola III (angka sebagai pengganti huruf atau kata), pola IV (gabungan huruf dan angka), pola V (singkatan yang mengubah  beberapa huruf), pola VI (singkatan yang menghilangkan unsur vokal sebuah kata). Pola akronim pula terdiri dari dua pola iaitu: pola I (akronim yang berasal dari huru awal kapital sebuah kata), dan pola II (akronim yang ditulis dengan huruf kecil). Pola singkatan yang lebih dominan adalah pola V, dan akronim yang lebih dominan digunakan adalah pola II.

2.0       Dapatan Kajian
            Secara umumnya, penggunaan bahasa slanga dalam Facebook berkait rapat dengan keadaan hidup sosial di Negara Brunei Darussalam. Berdasarkan dapatan kajian ini, pengkaji telah menemukan 12 jenis bahasa slanga dalam Facebook iaitu:

(a)    Penyingkatan dua atau lebih perkataan menjadi satu perkataan:
Bahasa Slanga
Makna
Cipika Cipiki
Cium Pipi Kanan Cium Pipi Kiri
Curhat
Curahan Hati
Jablai
Jarang Di Belai
Magabu
Makan Gaji Buta
Makasih
Terima Kasih
Maskuah
Malas Ku Ah
Nausah
Inda Usah
Saklikoeh
Sasak Kali Ko Eh
Saktuah
Sasak Atu Ah
Waria
Wanita Tapi Pria


(b)   Slanga dalam bentuk akronim
Bahasa Slanga
Makna
BTT
Banar Tah Tu
KDN
Kaling Dalam Negeri
KK
Kambang-Kambangan
KL
Kurang Layanan
MKKE
Mental Kali Ko Eh
OJ
Orang Jahat
SKKE
Sasak Kali Ko Eh
SS
Siuk Sendiri
TTM
Teman Tapi Mesra

(c)    Bentuk slanga yang diambil dari bahasa asing
i.                    Bahasa Inggeris
Bahasa Slanga
Makna
Bro / Brader
Bui
Jun
Brother
Boy
John
*Sapaan untuk kawan-kawan lelaki
Bond
Curi
Jackpot
Muntah
Landing Time
Waktu untuk tidur
Ori
Original / asli
Rilek
Santai
Spare Part
Lelaki/perempuan simpanan
Smuggle
menyeludup

ii.                  Bahasa Cina
Bahasa Slanga
Makna
Cau
Pergi
Cun
Cantik
Langsi
Kurang Ajar
Ngam
Betul
Sui
Nasib Malang
Taiko
Ketua

iii.                Bahasa Jepun
Bahasa Slanga
Makna
Sayonara
Selamat Tinggal

iv.                Bahasa Iban
Bahasa Slanga
Makna
Matai / Parai
Mati

(d)   Bentuk slanga yang berfungsi sebagai eufemisme
Bahasa Slanga
Makna
Bendera Jepun
Perempuan sedang haid
Melabur
Buang air besar

(e)    Bentuk slanga yang menggambarkan sifat, kelakuan atau keadaan orang lain
Bahasa Slanga
Makna
Harimau
Seorang yang garang
Manganyam Ketupat
Suka mengumpat orang lain
Putung Spring
Berbadan Pendek
Solo
Pentingkan Diri Sendiri (Siuk Sendiri)
Ulat Bulu
Lelaki yang suka menganggu perempuan

(f)    Pengubahan ejaan tertentu dalam kata-kata lama
Bahasa Slanga
Makna
Kinta
Cinta
Langsiang
Langsing
Likin
Licin
Kina
Cina
Naning
Pening









(g)   Menterbalikkan kedudukan suku kata perkataan iaitu menterbalikkan suku kata pertama dengan suku kata kedua.
Bahasa Slanga
Makna
Lingka
Kaling
Lurta
Talur





(h)   Penambahan akhiran –ing pada kata dasar untuk menunjukkan situasi berterusan
Bahasa Slanga
Makna
Jalan-ing
Sedang berjalan
Wayang-ing
Sedang menonton wayang
Ambuyat-ing
Sedang makan ambuyat
Futsal-ing
Sedang bermain futsal



(i)     Penambahan akhiran –s bagi menunjukkan kata jamak bagi sesuatu
Bahasa Slanga
Makna
Kakaks
Kakak-kakak
Lalats
Lalat-lalat
Babis
Babi-babi
Pundans
Pundan-pundan









(j)     Bentuk slanga yang merujuk kepada orang yang terkenal
Bahasa Slanga
Makna
Angelina Jolie
Perempuan yang memiliki bibir yang tebal
Brad Pitt
Lelaki yang kacak 
Genji
Lelaki yang suka berkelahi 
Sable Bomb
Perempuan yang suka berkelahi
The Rock / Ziana Zain
Lelaki/Perempuan yang sering menaikkan kening 
Stone Cold 
Lelaki berkepala botak 











(k)   Bentuk slanga bersifat sindiran
Bahasa Slanga
Makna
Banjir
Untuk menyindir perempuan yang memakai kain separas lutut atau atas buku lali 
Inda cukup kain
Ditujukan kepada perempuan yang berpakaian seksi






(l)     Bentuk istilah baru
Bahasa Slanga
Makna
Keong racun
Lelaki yang mengajak perempuan yang baru dikenalinya untuk tidur bersamanya
Krik
Gila
Janda Becucul
Janda yang berpenampilan melampau.
Lukan Bebulu
Lelaki yang sifatnya kaki perempuan (Playboy)
Maprey
Mafia
Ngongeng
Lelaki yang sifatnya lemah lembut
Pulin
Rogol
Soba
Khayal



























3.0       Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Penggunaan Bahasa Slanga Dalam Facebook.

            Dalam kajian ini, pengkaji telah menemukan beberapa faktor yang menyebabkan kemunculan bahasa slanga dalam Facebook iaitu:

(a)   Pengaruh  dari percakapan masyarakat
Apabila bahasa slanga itu sering dituturkan oleh satu kelompok manusia, ini mampu mempengaruhi orang lain. Ramai orang akan terikut-ikut dan juga sering menggunakan bahasa slanga tersebut.

(b)   Pengaruh  dari media massa
Penggunaan bahasa slanga yang ditonjolkan di dalam drama atau filem sedikit sebanyak menjadi ikutan. Sebagai contoh, di kalangan artis menggunakan bahasa slanga di dalam filem “KL Gangster” menyebabkan ramai remaja sering menirukannya.

(c)    Untuk menyembunyikan sesuatu perkataan yang menjadi rahsia daripada pengetahuan umum.
Para pengguna Facebook menggunakan bahasa slanga bagi tujuan untuk menyembunyikan sesuatu perkataan yang menjadi rahsia daripada pengetahuan umum. Sebagai contoh, golongan penagih ganja mempunyai bahasa slanga mereka sendiri. Misalnya, gele, daun atau sayur merujuk kepada ganja.

(d)   Untuk meringkaskan perkataan dan rangkaikata yang digunakan sehari-hari.
Para pengguna Facebook gemar meringkaskan perkataan dan rangkaikata yang digunakan sehari-hari. Kebanyakan perkataan dan rangkaikata ini sudah difahami oleh mereka maka ringkasan atau kependekan ini dengan mudah menjadi popular. Mereka kerap menggunakan unsur ringkasan ini kerana mereka ingin mengelakkan kesukaran dan kelambatan dalam menyebut perkataan dan rangkaikata itu.
(e)    Untuk bergembira, berjenaka dan meringankan suasana yang penuh dengan emosi.
Ini merupakan salah satu sebab mengapa bahasa slanga itu berlaku dalam Facebook. Para pengguna ingin melepaskan diri daripada bebanan yang menekan jiwa mereka. 



4.0       Kesan-Kesan Penggunaan Bahasa Slanga Dalam Facebook.

            Dengan adanya penggunaan bahasa slanga dalam Facebook, ini telah memberikan dua kesan iaitu kesan positif dan juga kesan negatif.
4.1        Kesan Positif
(a)   Menambahkan kosa kata
Bahasa slanga juga boleh menyumbangkan kosa kata-kosa kata baru yang tidak terdapat dalam kamus bahasa baku. Sebagai contoh, “movies” (wayang gambar kini berstatus perkataan baku dalam bahasa Inggeris, mat rempit kini berstatus perkataan baku dan  dikategorikan sebagai simpulan bahasa yang baharu wujud dalam bahasa Melayu dan boleh disamakan dengan simpulan bahasa lain yang sudah mantap seperti Mat Jenin, buaya darat dan lain-lain.
(b)   Mewujudkan ruang untuk penyelidikan bahasa
Bahasa slanga menyediakan ruang yang lebih luas untuk penyelidikan dalam bidang bahasa dan linguistic, misalnya mencari etimologi kosa kata yang dipilih dan diberikan makna yang baharu dengan makna yang sedia ada dalam bahasa baku. Manaka, persoalan yang boleh menjadi salah satu tujuan penyelidikan pula ialah sama ada sesuatu kosa kata itu terletak dalam kelompok makna polisemi ataupun homonimi.
4.2        Kesan Negatif
(a)   Munculnya istilah-istilah baru
Kesan penggunaan bahasa yang serba mudah dan berleluasa ini menyebabkan banyak istilah baru muncul bagi kemudahan ekpresi. Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan Facebook ialah krik (gila) dan maprey (mafia). Istilah-istilah ini pada peringkat awalnya hanya digunakan untuk memeriahkan suasana atau ingin bergembira serta berjenaka sahaja. Namun demikian, lama-kelamaan istilah-istilah ini akan menjadi budaya dalam percakapan yang boleh menyebabkan generasi-generasi muda yang akan datang akan terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yang digunakan pada masa kini. Jika bahasa slanga ini masih terus digunakan oleh generasi pada masa kini, maka generasi akan datang akan mewarisi bahasa melayu yang telah menggunakan istilah-istilah baru.
(b)   Matlamat untuk mengembangkan Bahasa Melayu akan terhalang.
Matlamat untuk memperkembangkan Bahasa Melayu akan terhalang kerana pengguna bahasa slanga telah memperkenalkan banyak elemen yang merosakkan bahasa. Seperti kata pepatah, “bahasa menunjukkan bangsa”,  sesuatu bahasa itu melambangkan sesuatu bangsa mereka sendiri. Jika bahasa slanga terus merebak dan berleluasa, maka generasi akan datang akan lupa bahasa mereka sendiri. Usaha-usaha yang dilaksanakan untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak akan dicapai sekiranya pengguna bahasa Melayu itu sendiri tidak menggunakan bahasa mereka dengan betul.

5.0       Kesimpulan
Secara kesimpulan, bahasa slanga tetap akan berkembang dalam kelompok-kelompok masyarakat tertentu di mana perkembangan itu mengikut perkembangan masyarakat. Bahasa slanga berperanan memenuhi fungsi komunikasi sosial dan merupakan alat ekpresi diri di sasamping menimbulkan ciri identiti kumpulan. Bahasa slanga juga boleh dikatakan dapat memberi sumbangan dalam bahasa dan ini merupakan satu tanda kemajuan bahasa. Dalam kajian ini, pengkaji telah menemukan 12 jenis bahasa slanga dalam Facebook.  Jenis-jenis slanga yang diwujudkan oleh para pengguna Facebook turut memperlihatkan kreativiti dalam bahasa slanga itu sendiri. Selain itu, terdapat beberapa faktor yang telah dikenal pasti yang telah mempengaruhi para pengguna Facebook menggunakan bahasa slanga. Penggunaan bahasa slanga ini telah memberikan kesan positif dan juga kesan negatif. Ada yang berpendapat bahasa slanga itu boleh merosakkan kemurnian bahasa tetapi ada juga yang berpendapat bahawa bahasa slanga sebagai satu aktiviti kreatif. Pada hemat pengkaji mengenai penggunaan bahasa slanga dalam Facebook, selagi ada pengguna Facebook maka selama itulah bahasa slanga akan hidup.

Rujukan:

Buku-Buku Rujukan

Irwandy (penyelengara). (2007). Bahasa Dan Pemikiran Melayu/Indonesia Menyongsong 2005. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Nik Safiah Karim (1990). Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Peter Constantine (1994). Making Out In Indonesian. Singapore: Yenbooks.


Artikel-Artikel

Awang Pawi (1987). Bahasa Slanga – Kaitannya Dengan Semantik. Beriga, April-June 1987: 3-10

H. Ahmad Samin Siregar (2000). Penggunaan Kata Dalam Bahasa Indonesia Dan Bahasa Melayu: Suatu Perbandingan. Dewan Bahasa, 44 (12): 1330-1339

Koryono Purnama (tiada tahun). Slang Bahasa Melayu Brunei. Negara Brunei Darussalam: Universiti Brunei Darussalam.

Mochtar Lubis (1972). Penggunaan Bahasa Dalam Pers. Dewan Bahasa, 16 (6): 253-258

Wong Khek Seng (1994). Bahasa Slanga Di Kalangan Mahasiswa Universiti Malaya. Jurnal Dewan Bahasa, 38 (8): 749-754.

Kamus-kamus

Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003). Brunei Darussalam: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Kamus Besar Bahasa Indonesia (1989). Indonesia: Balai Pustaka.

Kamus Dewan (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Bahan Rujukan Elektronik

Ade Azwida (2007). Pemakaian Bahasa Gaul Pada Iklan Produk Komersial Telivisi. Skripsi. (atas talian) http://repository.usu.ac.id/handle/123456789/13460 (25 Januari 2012)

Anita (2006). The Word Formation Processes On Slang Words Produced By Homosexsuals In Surabaya. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_9145.html  (25 Januari 2012)

Dian Rafika (2008). Slang in Lyrics of Eminem’s Selected Songs: A Semantic Analysis. Tesis. (atas talian) http://repository.usu.ac.id/handle/123456789/16147 (25 Januari 2012)

Dra. Salliyanti (2003). Bahasa Prokem Di Kalangan Remaja. Kertas Kerja. (atas talian) http://repository.usu.ac.id/handle/123456789/1721 (25 Januari 2012)

Eva Tuti Harha Siregar (2010). Bahasa Gaul Pada Kalangan Waria Di Jalan Gadjah Mada Medan: Tinjauan Sosiolinguistik. Tesis. (atas talian) http://repository.usu.ac.id/handle/123456789/20256 (1 Februari 2011)

Ewaldine Melanie (2004). A Study On Word-Formation Processes Of Slang Expressions By The Characters In The Film "Ada Apa Dengan Cinta". Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_3445.html (25 Januari 2012)

Handayani Wangi (2004). The Study of the English Slangs And The Processes That Form Them In "Sugar And Spice" Movie. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_4470.html (25 Januari 2012)

Like Stevanny (2006). The Slang Words Used By Students Of Petra Christian University In Their Boarding House. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_5465.html (25 Januari 2012)

Maria Meliany (2003). Semantic Changes Of Illicit Drugs Slang Terms In Indonesia. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_749.html (25 Januari 2012)

Sondang Manik (2004). Pengkajian Semantik Pada Bahasa Gaul. Tesis. (atas talian). http://repository.usu.ac.id/handle/123456789/5678 (25 Januari 2012)

Syllvie Wijaya Agung (2005). Penggunaan Bahasa Gaul Sebagai Alat Komunikasi Di Himpunan Mahasiswa (HIMA) Dan Komunitas Pelayanan Mahasiswa (PELMA) Universitas Kristen Petra Surabaya. Skripsi. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_2118.html (25 Januari 2012)

Tienekke Suryaputra (2004). A Study Of The Word Formation Processes Of Bahasa Gaul Used By Hair Dressers In Surabaya. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_990.html (25 Januari 2012)

Veneranda Intan P. (2006). Komunikasi Gender: Studi Penggunaan Bahasa Gaul Dalam Kelompok Stage 9 Entertainment. Skripsi. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_9218.html (25 Januari 2012)

Yendra Susandi (2004). A Study Of Black Speaker's Slangs In The Lyrics Of Dr Dre's Songs. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_3384.html (25 Januari 2012)

Yovia Aimee Riva (2004). An Analysis Of Slang Used By The Characters In Clueless Movie Based On Sex Differences. Tesis. (atas talian) http://dewey.petra.ac.id/jiunkpe_dg_3375.html (25 Januari 2012)


Laman Web

http://www.facebook.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan